Analogi Sebuah Titanic
>> Wednesday, December 1, 2010

Berdasarkan situasi tersebut, siapakah yang akan anda selamatkan dahulu selain daripada diri anda sendiri?
Pelbagai jawapan mungkin kita perolehi.
Si A mungkin menjawab, “Saya tidak akan menyelamatkan sesiapapun. Saya akan meninggalkan semua orang dan berusaha untuk menyelamatkan diri saya sendiri terlebih dahulu.”
Si B pula berpendapat, “Saya akan menyelamatkan ibu bapa dan ahli keluarga saya terlebih dahulu. Saya akan cari mereka di sekitar kapal dan selamatkan mereka satu per satu kerana saya sangat sayangkan mereka dan tidak sanggup kehilangan mereka.”
Manakala si C mempunyai pendapat yang berbeza, “Saya akan cuba untuk selamatkan orang-orang yang tua terlebih dahulu, kerana mereka ini sudah lemah dan tidak mampu untuk bergerak dengan bebas. Saya sangat kasihan dengan golongan ini dan saya rasa amat wajar untuk menyelamatkan mereka terlebih dahulu.”
Namun si D pula menjawab begini, “Saya rasa saya akan selamatkan kanak-kanak dan remaja dahulu. Kerana mereka ini masih muda dan mereka adalah aset negara yang sangat penting. Masa depan negara terletak pada golongan ini. Jadi, kehilangan mereka adalah satu kerugian yang amat besar. Bukan saya tidak kasihankan golongan yang sudah berumur, tetapi, jika dibandingkan dengan golongan muda, tenaga dan fikiran golongan muda lebih diperlukan.”
Lantaran pelbagai jenis pendapat dan pendirian ini, maka berlakulah perdebatan sihat di antara ahli LDK. Masing-masing dengan hujah sendiri dan berakhir dengan sebuah konklusi.

Pendapat dan konklusi anda pula bagaimana?
Di antara A, B, C dan D, yang manakah jawapan yang paling anda setuju?
Sedar atau tidak, situasi seperti di atas, sering kali dijadikan modul dalam latihan dalam kumpulan (LDK) semasa di BTN, di kem-kem pengukuhan diri serta kursus kepimpinan.
Jika dinilai dengan pandangan mata kasar dan emosi, pasti akan ada yang berpendapat A sangat mementingkan diri sendiri kerana tidak memikirkan keselamatan orang lain. Manakala B, C dan D, boleh kita kategorikan sebagai orang-orang yang lebih berperikemanusiaan kerana memikirkan keselamatan orang lain berbanding dengan diri mereka.
Namun, adakah kita punyai pilihan untuk memilih siapa yang patut kita selamatkan dahulu dalam situasi yang menuntut kita membuat pertimbangan akal yang kurang waras tetapi pantas?
Apabila keadaan tersebut benar-benar berlaku di hadapan mata kita, adakah kita semua sempat untuk memikirkan siapa yang akan kita selamatkan dahulu?
Secara logiknya, kita akan berusaha untuk menyelamatkan diri kita terlebih dahulu. Setelah itu, barulah kita terfikir untuk menyelamatkan orang lain. Itupun sekadar yang berkesempatan. Siapa yang ada berdekatan dengan kita, pasti dia itulah yang kita akan selamatkan terlebih dahulu.
Jadi, di antara keempat-empat pendapat di atas, jawapan yang paling relevan dengan situasi yang dibincangkan adalah pendapat A.
Setuju?
Setuju atau tidak, terpulang kepada pendapat individu, kerana masing-masing punya pendapat yang wajar dihormati. Namun, ada satu keadaan di mana, sudah pasti tidak akan ada manusia yang sempat untuk memikirkan siapa yang mahu diselamatkan olehnya. Pada hari itu, hanya nafsi-nafsi. Seorang diri mencari tempat berlindung.
Di sinilah letaknya analogi daripada kejadian di atas dengan relevan jawapan A.
Apakah ia?
Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah....
HARI KIAMAT

Mungkin ada yang akan mengatakan, tidak relevan untuk membandingkan situasi di kapal yang sedang karam dengan situasi semasa hari kiamat. Kerana bezanya ibarat langit dan bumi, bahkan, mungkin lebih dari itu. Namun, sebenarnya, banyak iktibar yang boleh kita ambil jika kita mahu memandang kejadian ini dari perspektif yang berbeza, dan Allah menuntut kita untuk mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku. Maka, di sinilah letaknya peranan akal kita untuk merenung dan berfikir. Akan tetapi, fikiran ini mestilah berlandaskan zikir agar fikiran kita berada pada landasan agama. Sebagaimana Prof. HAMKA pernah berkata, “Hujung akal (fikir) adalah pangkal agama (zikir).”
Allah swt telah banyak memberi gambaran dan peringatan kepada manusia dalam al-Quran. Banyak surah dan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan pelbagai kisah dan keadaan semasa berlakunya hari kiamat. Antaranya adalah surah al-Haqqah, surah al-Qariah, surah al-Ghashiyah, surah al-Takwir, surah ‘Abasa, surah Al-Infitar dan banyak lagi.
Secara mudah, mungkin kita dapat simpulkan bahawa keadaan semasa berlakunya hari kiamat adalah dalam keadaan yang sangat huru-hara. Ia adalah satu kejadian yang di mana berlakunya kemusnahan seluruh alam semesta dengan sangat dahsyat. Bintang-bintang gugur berserakan.. Gunung-ganang hancur berkecai.. Bumi diratakan.. tandus..
“Apabila matahari digulungkan cahayanya (dan hilang lenyap); Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; Dan apabila gunung-ganang dihancurkan (menjadi debu) yang beterbangan; Dan apabila unta-unta yang bunting dibiarkan (tanpa diperah susunya); Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; Dan apabila lautan dipanaskan (menyala-nyala); Dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan tubuhnya); Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya. Apakah dosanya (sehingga) dia dibunuh? Dan apabila catatan amalan dibentangkan; Dan apabila langit dilenyapkan (dari tempatnya); Dan apabila neraka dinyalakan (untuk musuh-musuh Allah); Dan apabila syurga didekatkan (untuk orang yang bertaqwa).” (Maksud surah Al-Takwir: 1-13).
Siapa yang tidak gerun dalam menghadapi situasi cemas sebegitu rupa? Pasti saja manusia akan bertempiaran ke sana sini tanpa hala tuju. Hatta orang gila pun pasti akan melarikan diri. Pada hari itu, masing-masing sibuk dengan hal diri sendiri dan untuk menyelamatkan diri sendiri. Orang lain di sekeliling sudah tidak dihiraukan. Apa yang termaktub dalam fikiran manusia ketika itu, hanyalah keselamatan dan melarikan diri daripada bahaya.
“Pada hari itu, manusia menjadi seperti kupu-kupu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dihamburkan berterbangan.” (Maksud surah Al-Qari’ah: 4-5).
Manakala, firman Allah dalam ayat 33-37 dari surah ‘Abasa pula bermaksud, “Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat. Pada hari seseorang itu lari daripada saudaranya; dan ibunya serta bapanya; dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana setiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang sangat menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.”
Apabila kiamat datang, maka kepada siapakah lagi yang kita harapkan? Bantuan daripada siapakah lagi yang kita perlukan? Dan keampuan daripada siapakah yang kita dambakan?
“Dan takutlah kamu pada hari, (ketika) tidak seorangpun dapat menggantikan (membela) orang lain sedikitpun, tebusan tidak diterima, bantuan tidak berguna baginya, dan mereka tidak akan ditolong.” (Al-Baqarah:123)
Ketika kapal Titanic dalam analogy di atas masih menawarkan peluang untuk menyelamatkan diri melalui bantuan bot-bot keselamatannya, adakah kita masih mempunyai peluang yang sama pada hari kiamat? Masih ada peluangkah untuk kita melarikan diri?
Jawapan yang sudah pasti.. Tidak!
Larilah hingga ke hujung dunia pun, kita pasti tidak bisa melarikan diri
Tiada seorangpun manusia yang dapat membela nasib manusia yang lain.
Tiada!
Hatta ibu bapa sanggup meninggalkan anak-anak mereka begitu juga sebaliknya. Di sinilah, amalan kita mula berbicara. Jika baik amalan kita maka kesudahan yang baik juga milik kita. Jika tidak.. kesudahan yang buruk bakal menanti. Itulah janji Allah yang pasti dengan i.zin dan rahmat daripadaNya.
Janji Allah itu pasti! Janji Allah itu pasti!
Saya ulang sekali lagi, Janji Allah itu pasti!! Dan Allah tidak akan sekali-kali memungkiri janjiNya.
Jika Allah menjanjikan akan tibanya hari kemusnahan alam, maka hari itu pasti benar-benar akan tiba.
Jika Allah menjanjikan syurga buat golongan yang melakukan amal soleh, maka janji itu pasti akan ditunaikanNya, dan manusia akan hidup bersenang-lenang di dalamnya.
Jika Allah menjanjikan neraka buat golongan yang ingkar, maka pasti saja tulang-belulang dan seluruh isi tubuh manusia akan hancur membusuk dalam marak api neraka.
Justeru, yang mana satukah pilihan kita kini?
Adakah kita memilih untuk taat? Atau.. masih ingin bersenang-lenang melarutkan diri dengan kemungkaran?
Ingatlah, bahawa negeri akhirat itu benar. Syurga dan neraka itu juga benar. Bahkan, itulah alam yang kekal abadi. Mengapa kita tidak sanggup korbankan kehidupan alam yang sementara ini demi alam abadi? Mengapa kita masih berlengah-lengah untuk melakukan kebaikan, sedangkan itulah saham akhirat kita?
Mengapa? Mengapa? Dan mengapa?
Bersediakah kita untuk menghadapi hari kiamat dan alam akhirat? Jawapan yang sering dilontarkan, “Tepuk dada, tanyalah iman dan taqwa kita.”
Saksikanlah video ini.. Semoga kita semua beroleh keinsafan darinya.
~Saya doakan kita semua selamat di dunia dan akhirat.. Doakan saya juga, kerana saya adalah insan kerdil yang sering kecundang dengan duniawi. Semoga coretan kali ini akan memberi manfaat buat kita semua.. ameen~
Wallahua’lam...











2 comments:
Salam, mantap isi. Pada hari kiamat, ibu sendiri tidak menghiraukan kandungannya. Apatah lagi yang lain. Sahabat saya pernah cakap "Kalau kita kejar dunia, kita dapat dunia, kalau kita kejar akhirat, kita dapat dunia dan akhirat, InsyaALLAH" . Wallahua'lam. Syukran atas entry ini. Keep it up! Saya memang perlukan "nota fikir untuk zikir" ini. Wassalam.
Waalaikumussalam.. alhamdulillah dn terima kasih. betul yang sahabat awk cakap tu.. apa yang kita semai, itulah yang kita akan dapat di kemudian hari. Itulah pentingnya utk semai benih yang baik.
InsyaAllah, akan diusahakan.. doakan saya dpt terus menulis dengan lebih baik.
Post a Comment