Jangan Jadi Saintis 'Bangau oh Bangau'

>> Sunday, December 26, 2010



***

Di dalam sebuah makmal yang terpencil, kelihatan seorang lelaki yang memakai kot labuh berwarna putih, memakai cermin mata jenis old school yang tebal serta memiliki rambut putih ala-ala Albert Einstein. Di hadapannya terdapat radas seperti silinder penyukat, bikar serta cecair pelbagai warna yang ditempatkan di dalam kelalang kon. Apabila dicampurkan cecair tersebut, maka terhasillah asap berkepul-kepul di udara. Kemudian terbatuk-batuklah lelaki itu sambil tangannya melibas-libas ke atas dan ke bawah bagi menghalang asap tersebut dari memasuki rongga mulut dan hidungnya. Setelah asap itu hilang, lelaki itu memerhatikan kembali campuran cecair tersebut. Setelah beberapa kali membelek-belek dan menganalisa cecair yang terhasil itu, tangan kanannya aktif berlari-lari di atas sekeping kertas putih, bagi mencatatkan penemuan barunya. Setelah berpuas hati, lelaki itu seraya berkata,

“Ahah!!! Inilah dia ubat yang dicari-cari! Sebuah penemuan baru telah pun dihasilkan!! Aku telah berjaya! Ah..ah..ah..ah..ahhhhhhhhhhhhhhhahahaaa”

Maka tertawa terbahak-bahak dan tergolek-goleklah saintis tersebut di atas lantai makmal. Hasil daripada usaha keras dan prestasi cemerlangnya, lelaki itu telah berjaya mendapat pelbagai anugerah daripada pelbagai pihak dan dianugerahkan dengan gelaran Professor.

**Cerita ini cuma rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.. Kalau ada yang terlebih-lebih tu minta maaf yer.. v(^^,)v

***

Begitulah yang terbayang dalam kotak fikiran saya apabila memikirkan mengenai saintis dan eksperimennya sewaktu saya masih kecil. Mungkin terpengaruh dengan cerita-cerita kartun yang dipaparkan di televisyen. (Peminat kartun tegar ketika itu, especially Doraemon.. haha!)

Ya, memang sesuatu yang amat menakjubkan jika kita dapat membongkar penemuan baru serta menghasilkan sesuatu yang baru. Dulu, ketika saya masih di bangku sekolah, mata pelajaran yang paling diminati oleh saya ialah sains, khususnya dalam bidang biologi dan astronomi.

Bagaimana manusia dapat membongkar misteri sel-sel yang menjadi asas kepada sebatang tubuh manusia sedangkan ia terlalu seni dan tidak dapat dilihat oleh mata kaca kasar?
Dan, bagaimana pula manusia dapat membongkar misteri alam cakerawala yang amat luas ini, sedangkan mata manusia sememangnya terbatas oleh jarak?

“Bagaimana?”

Sebuah soalan pokok yang sering berlegar dalam fikiran saya. Dan setiap kali soalan yang melibatkan ‘bagaimana’ disoal, maka ada saja jawapan yang diterangkan.

“Kenapa?”

Sebuah lagi perkataan soal yang sering diajukan. Dan setiap kali saya menyoal, pasti akan ada jawapan yang menjadi hujah.

Tidakkah kita semua terfikir, kenapa semua ini dikaji dan terus dikaji?

Untuk apa semua ini?

Ramai yang dapat merungkai pelbagai misteri dan menemui pelbagai penemuan baru. Soalan ‘bagaimana’ dijawab dengan jawapan yang sangat baik. Namun, ia tidak berlaku kepada soalan ‘kenapa’. Ramai saintis yang bijaksana di luar sana ternyata gagal untuk menjawab dengan tepat. Ini adalah pendapat Dr. Mat Rofa, pensyarah subjek Falsafah Sains UPM (Tabik spring kat Dr. Mat Rofa. Susah nak jumpa pensyarah macam ni kat UPM.. huhu)

Di sini saya ingin memberi soalan sebagai contoh untuk difikirkan..

“Kenapa pokok ada daun?”

Owh, mungkin ada yang akan menjawab untuk menjalani proses fotosintesis.

“Bagaimana daun menjalani proses fotosintesis?”

Maka mungkin jawapan yang bakal saya perolehi adalah selembar kertas yang dipenuhi dengan tulisan berjela-jela mengenai mekanisma fotosintesis. Siap ada diagram warna-warni lagi tuh!

Jawapan anda pula bagaimana?

Adakah kita memasukkan sebuah lagi jawapan yang paling utama? Atau kita sering lupa akan jawapan itu?

MANUSIA YANG SERING LUPA

Kita sering bangga apabila kita dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Sering kali juga rasa bangga itu terbit tatkala dapat membongkar sebuah penemuan yang baru dalam sejarah peradaban manusia. Kita juga sering kagum dengan golongan sebegini..

Lihat Prof. A jumpa spesies baru.. Reaksi kita, “Wahh!! Kagumnya dengan Prof. A!!”

Lihat Prof. B jumpa vaksin penyakit C.. Reaksi kita, “Wahh!! Hebatnya Prof. B!!”

Kagumnya!! Hebatnya!! dan pelbagai bentuk pujian lagi dilemparkan.

Tidak salah untuk mengagumi dan memuji. Akan tetapi, manusia sering lupa satu perkara.

Sering kali manusia itu lupa mengenai hakikat sebenar penemuan itu. Hakikatnya, manusia cuma menjumpai sesuatu yang sudahpun lama diketahui. Tiada apa yang baru sebenarnya. Apa yang baru hanyalah pengetahuan manusia itu mengenai aturan yang sudah sekian lama diciptakan oleh Allah swt. Namun, kerana keangkuhan, manusia lupa akan hakikat ini. Kesannya, pencipta sebenar alam ini tidak dapat ditemui. Maka fahaman-fahaman athies yang jauh menyimpang mulai wujud dalam diri para saintis.

Apabila ilmu sains (dan cabang-cabang ilmu lain juga) mula disekularkan, maka lahirlah dua kelompok yang terpisah. Kelompok ahli sains dan kelompok ahli agama. Akhirnya, kita seolah-olah tidak nampak titik persamaan antara kedua-dua kelompok ini. Sayang! Sedangkan ilmu sains itu sepatutnya memperkukuhkan lagi keyakinan dan kepercayaan kita terhadap agama Islam.

Al-Quran telah mencatatkan penemuan-penemuan yang dianggap baru itu jauh lebih lama. Bahkan, sudah banyak penemuan ‘baru’ ternyata sudah lama tercatat dalam al-Quran dan hadith. Cuba cari buku seperti Sains Moden Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah. Belek, baca, teliti dan fahami dengan hati dan minda, maka anda akan dapati setiap daripada ‘penemuan baru’ itu sememangnya sudah lama tercatat dalam agama kita.
Permulaan sains seharusnya melibatkan hakikat untuk mencari kebenaran menerusi pemerhatian tentang alam semesta. Dengan itu, lahirlah sains sebagai wadah falsafah ke arah matlamat tersebut dengan menjadikan aspek teknologi sebagai aspek sampingan. Namun, akhir-akhir ini aspek sains, iaitu kualitatif, ketuhanan dan etika, dilupakan tetapi matlamat sampingan, yakni teknologi, menjadi matlamat utama.

Ini amat berbeza dengan tokoh-tokoh sains Islam yang terdahulu. Ibn Sina contohnya, sangat menitik beratkan elemen metafizik (ketuhanan dan agama) dalam kajiannya. Setiap penjelasan yang dibuat dikaitkan secara langsung dengan Allah swt dan tidak lupa juga selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw.

Dalam menjelaskan pergerakan zarah, Ibn Sina menulis (Saya petik sebahagian sahaja):

“.... Dengan itu Engkau memerintahkan kejadian Jisim Asali yang mempunyai kuasa pasif sentiasa sedangkan Engkau memegang teraju kekuasaan Aktif setiap masa. Engkau Maha Mengetahui segala kejadian dan kemusnahan akibat daripada pengembangan dan penguncupan, dan mudah pula mendapat petanda dan isyarat dalam mengawal kemusnahan. Dengan itu Engkau mencipta Kepanasan yang mengembang pada Dhatnya, Kesejukan berkualiti menguncup, Kelembapan bagi melindungi benda daripada menjadi layu dan lasam. ...

... Engkau Yang Memelihara dan Raja segala raja: Kami sentiasa inginkan Dikau, bersujud dan berpuasa untukMu. Engkaulah punca yang pertama. Daripada Engkau kami meminta perlindungan dan amaran yang menjadikan kami terpelihara daripada kealpaan, dan memberi petunjuk semasa kami merasa ragu dan hiba. Engkaulah yang menjadikan dan memelihara daripada segala keraguan. Segala puji bagi Tuhan yang berhak kepada pujian! Selawat dan salam ke atas rasulNya, Muhammad, makhluknya yang paling sempurna, dan ke atas semua para sahabat Baginda.”

~petikan daripada syarahan K.A.M. Akhtar, A tract of Avicenna, Islamic Culture~

Aliran pemikiran sebegini sangat jarang ditemui sekarang. Cuba belek tesis-tesis mahupun jurnal sains, amatlah susah untuk menemui tulisan sebegini oleh saintis masa kini. Saya sendiri tidak pasti sama ada mempunyai kekuatan untuk menulis seperti beliau dalam penulisan saintifik, terutamanya dalam era yang menuntut kita untuk mengikuti arus perdana yang belum tentu lurus jalannya. Apapun, saya berpendapat, mungkin boleh dimasukkan elemen ketuhanan secara halus sebagai permulaan. Dan apa yang penting, seseorang ahli sains itu seharusnya menyedari hakikat kajian yang sedang dilakukan olehnya. Hakikat yang segala-galanya adalah di bawah penguasaan Allah dari segala segi. Dengan ini, maka lahirlah golongan ahli sains yang menepati ciri-ciri golongan Ulul-Albab yang digariskan dalam al-Quran.

Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Ali-Imran, ayat 190-191, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”

APA KAITAN DENGAN BANGAU?




Dari tadi asyik explain pasal sains, bilanye nak explain pasal bangau pulak??.. heeee....

Masih ingatkah anda dengan lagu rakyat Bangau oh Bangau?

Ok.. mari kita perhatikan kembali liriknya..

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?

Macam mana aku nak kurus, ikan tak mahu timbul. Ikan tak mahu timbul

Ikan oh ikan, kenapa tak mahu timbul?

Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat. Rumput panjang sangat.

.....

Ular oh ular, kenapa kau makan katak?

Macam mana aku tak makan, memang makanan aku. Memang makanan aku.

Apa yang anda faham daripada lirik di atas? Dapatkah anda gabungkan saintis dan lagu tersebut?

Tak faham? Ok.. begini..

Apabila diajukan soalan “Kenapa bangau kurus?”, Secara automatic jawapan kita akan tertumpu pada rangkap kedua lagu tersebut iaitu “Ikan tak mahu timbul”.
Dan bila diajukan soalan kepada ikan, “Kenapa tak mahu timbul?”, Ikan menjawab, “Rumput panjang sangat la beb. Macam mana nak timbul.. kah..kah..kah..” dan seterusnya.

Kebanyakan jawapan kita cuma berlegar-legar di sekitar jawapan, ‘Ikan tak mahu timbul’ atau ‘rumput panjang sangat’. Ya, memang benar, itu adalah jawapannya. Akan tetapi jawapan yang sebenar masih tidak dijawab dengan tepat. Maka, atas dasar itu, soalan demi soalan lagi diajukan sehinggalah jawapan yang terakhir iaitu “memang makanan aku”.

Soalan tentang ‘kenapa’ dalam lagu tersebut adalah analogy kepada soalan-soalan kajian (research questions) yang menjadi asas permulaan kepada keseluruhan kajian.

Kenapa alam begini dan kenapa alam begitu?

Kenapa tidak begini dan kenapa tidak begitu?

Sedar atau tidak, “Memang makanan aku” pula adalah analogy kepada ketentuan Allah akan aturan alam ini. Sayangnya, lagu ini terhenti di situ sahaja dan tidak diteruskan ke peringkat seterusnya. Jika kita tambahkan lagi rangkap lagu tersebut, pasti kita akan menemui jawapan yang paling tepat!

Apakah jawapannya?

Mari kita sambung bait-bait lagu tersebut..

Ular oh ular, kenapa kau makan katak?

Macam mana aku tak makan, memang makanan aku yang telah ditetapkan oleh Allah swt!

Itulah jawapan yang paling tepat! Hakikat yang datang daripada Allah swt. Segala-galanya adalah ketentuan Allah dalam mengatur sistem rantaian dan siratan makanan itu. Kita jarang mengaitkan kehidupan ini dengan Allah, lantaran itu kita seolah-olah meraba-raba dalam celik. Tidak sedar yang segala-galanya daripada Dia!

Begitulah juga dalam dunia sains. Dalam para saintis asyik berusaha menjawab setiap persoalan dan berusaha mencari dan terus mencari penemuan baru, jika tidak diletakkan asasnya adalah untuk mencari kebenaran, buatlah kajian sampai ke hari kiamat pun, kebenaran masih tidak akan mampu digapai. Namun, ada golongan yang benar-benar ikhlas dalam kajian mereka, akhirnya menemui jawapan akhir kajian mereka. Akhirnya, mereka kembali kepada agama fitrah mereka, sujud kepada Allah dan menuruti amalan Rasulullah saw. Bukankah golongan sebegini yang wajar dijadikan contoh?

Bagi yang sememangnya sudah muslim, kenyataan yang perlu ditanamkan di dalam jiwa ialah setiap saintis adalah hamba Allah yang sedang memperjuangkan agama. Setiap bacaan, perkataan, tulisannya dalam bidang sains adalah senjata untuk kemuliaan agama dan lambang pengabdian diri kepada Allah swt. Jangan dipisah-pisahkan sains dan agama, kerana ia sememangnya menuju matlamat yang satu!

Jadi, apa pilihan kita?

Nasihat saya kepada diri sendiri dan anda semua, “Jangan jadi saintis ‘bangau oh bangau’”

Wallahua’lam.. v(^.~)v

**p/s: Entri nie bukan untuk golongan saintis jer... boleh apply untuk semua bidang juga..

Rujukan:
1. Al-Quran Al-Kareem.
2. Falsafah Sains, Pendekatan Kualitatif oleh Dr. Mat Rofa Ismail (Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia).
3. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam oleh Seyyed Hossein Nasr. (Diterjemahkan oleh Baharuddin Ahmad dan Osman Bakar).

2 comments:

LoNgJaR December 27, 2010 12:46 AM  

bagusnye kak mizah.. selama ni sy dah mensekularkan sains.. huhu..
terima kasih sbb igtkan sy.. (^_^)

littleMuslimah December 27, 2010 10:58 AM  

alhamdulillah.. sama-sama.

akak x bagus sbnrnya. entri ni pn sbnrnya satu cara utk mengingatkan diri sendiri yang selalu lupa.. dok buat projek selalu syok sendiri jer.. huhu..

spttnya kena ucap terima kasih kat Dr. Mat Rofa kot.. hihi..

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP