“Selamat tinggal anak-anakku. Semoga Allah akan memelihara kamu semua daripada bahaya” Kata rama-rama betina tersebut semasa ingin terbang meninggalkan telur-telurnya.
Tidak lama selepas itu, telur-telur tersebut mulai merekah. Maka terlahirlah anak-anak rama-rama yang dipanggil sebagai larva ataupun mungkin lebih dikenali sebagai ulat beluncas atau ulat bulu ke dunia ini. (Omputih panggil mende tu caterpillar lar..). Kini, bermulalah titik perjuangan si beluncas dalam memperjuangkan hidupnya sebelum ia dapat berubah sepenuhnya menjadi seekor rama-rama. Perubahan demi perubahan yang dialami sepanjang tempoh hidupnya ini dipanggil sebagai METAMORFOSIS..
Bagi sesetengah negara-negara yang mempunyai empat musim, terdapat spesies-spesies rama-rama yang bertelur pada musim sejuk dan mula menetas pada musim bunga. Terdapat juga beberapa spesies yang bertelur pada musim bunga dan menetas pada musim panas. Ada rama-rama yang hanya bertelur pada satu spesies pokok sahaja. Dan ada juga yang tidak terhad kepada sejenis pokok sahaja. Semuanya bergantung kepada spesies rama-rama itu sendiri.
Setelah berjaya membolosi kulit telur yang keras, beluncas kini bebas meneroka bumi Allah ini.
“Oh.. indahnya ciptaan Ilahi!! Maha Suci Allah yang telah menjadikan alam ini terbentang luas dan begitu indah ciptaannya..” Si beluncas memuji keindahan alam ciptaan Allah.
Sedang si beluncas asyik dengan puji-pujiannya kepada Allah. Tiba-tiba..
“Opocot!!!” Beluncas melatah kerana terkejut.
Satu suara jeritan halus dan nyaring telah mengejutkan si beluncas kecil. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menjerit sambil terlompat-lompat. Geli agaknya melihatkan bentuk tubuh si beluncas. Ya, beluncas bukanlah makhluk favourite di kalangan manusia, terutamannya perempuan. Melihatkan sifat dan morfologi tubuhnya, sudah mampu membuatkan seorang perempuan terjerit kerana geli-geleman melihatkan aksi beluncas. Adakalanya, bentuknya amat aneh. Bulu-bulu yang mencacak di atas tubuhnya menambahkan lagi rasa geli. Tapi, tak semua beluncas tu buruk rupanya. Ada juga yang comel.. (Tak baek kutuk ciptaan Allah!!)
“Fuuhhh.. nasib baik aku takde penyakit lemah jantung..” Kata si beluncas sebaik sahaja kanak-kanak perempuan itu meninggalkan kawasan pokok mawar tersebut.
Tetapi, belumpun hilang rasa terkejutnya..
Pap!!!!
Satu libasan ranting kecil hampir saja mengenai tubuh si beluncas yang kecil. Namun, libasan kecil itu sudah cukup kuat untuk menggegarkan daun yang dihuninya. Nasibnya agak baik kerana berada di atas daun yang agak tinggi kedudukannya. Agak sukar untuk dicapai oleh kanak-kanak perempuan itu.
“Imtinan! Imtinan buat apa tu?” Kedengaran suara ibu kanak-kanak perempuan itu.
“Imtinan nak bunuh ulat bulu tu!!” Katanya sambil menunjukkan kedudukan beluncas dengan jari telunjuk kirinya. Tangan kanannya masih lagi memegang erat ranting kayu yang dikutip di halaman sebentar tadi. Berdasarkan air mukanya, dia ternyata begitu nekad sekali ingin membunuh seekor beluncas yang tidak berdaya.
“Astaghfirullah.. Imtinan.. tak baik kita buat macam tu pada makhluk Allah.”
“Imtinan tak sukalah tengok ulat bulu tu! Nanti kalau kena tangan Imtinan, gatal!” Ujar kanak-kanak perempuan tadi separa menjerit.
“Imtinan tak kasihan ke pada ulat bulu tu?”
“Kenapa nak kasihan pulak?”
“Mesti dia rasa sakit dan sedih kalau Imtinan pukul dia dengan ranting tu.”
“Biarlah dia sakit. Biarlah dia nak sedih pun!”
“Tak boleh la macam tu sayang.. Kita tak boleh buat macam tu. Cuba Imtinan bayangkan, kalau Imtinan jadi ulat bulu, lepas tu ada orang nak pukul Imtinan. Apa Imtinan rasa?”
“La.. macam mana Imtinan nak rasa. Kan imtinan ni manusia.”
Ibu kanak-kanak tersebut tergelak kecil mendengarkan kata-kata si anak. Sambil memandang wajah anaknya, ibu muda itu merendahkan sedikit posisi tubuhnya. Tangannya diarahkan untuk mengusap-usap kepala anaknya yang berusia 4 tahun itu.
“Imtinan tak takut balasan Allah? Allah tak suka tau orang yang menganiaya makhluk ciptaanNya. Bila Allah tak suka, maksudnya perbuatan tu berdosa. Silap-silap boleh masuk neraka tau..”
Kanak-kanak perempuan itu terdiam seketika. Wajahnya ditundukkan ke bawah. Beberapa ketika kemudian, kanak-kanak itu kembali bersuara.
“Imtinan dah tak nak dah bunuh ulat bulu tu. Imtinan taknak masuk neraka.”
“Pandai anak ibu. Macam ni la anak yang baik”
Kanak-kanak itu kemudiannya tersengih sehingga menampakkan gigi susunya yang putih bersih. Kemudian, berlalu pergi sambil dipimpin ibunya.
Beluncas tersenyum sendiri melihat gelagat kedua-dua beranak itu. Ia bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkannya daripada maut. Melihatkan ibu kanak-kanak perempuan itu, ia teringat kepada ibubapanya. Ia ditinggalkan tanpa sebarang jagaan sejak kecil lagi. Tapi.. itulah lumrah kehidupan seekor rama-rama. Hidup tanpa perlu dijaga. Maha Suci Allah yang memelihara setiap makhluknya. Sungguhpun ditinggalkan, Allah tetap ada untuk mengawasi setiap gerak laku makhluknya. Ia benar-benar makhluk yang bertawakkal.
Kebanyakan masa hidup beluncas diisi dengan aktiviti makan. Oleh itu, ia akan memakan daun-daun hijau yang ada disekelilingnya dengan banyak. Biasanya, beluncas akan hidup di atas pokok yang menjadi hostplantnya dan memakan daun-daun hostplant tersebut. Kebanyakan hostplant mengandungi bahan toksik. Sungguhpun begitu, beluncas berupaya mempergunakan bahan toksik tersebut untuk kebaikan dan keselamatan dirinya. Malah, bahan toksik tersebut akan terus kekal walaupun mereka mencapai tahap dewasa. Ini menjadikan beluncas dan rama-rama terselamat daripada burung-burung dan pemangsa lain yang ingin menjadikan mereka sebagai makanan. Indikasi amaran jelas diiklankan pada tubuh beluncas itu sendiri. Biasanya, amaran tersebut akan ditonjokan dengan warna-warna yang terang seperti merah, jingga, hitam ataupun putih.
Seekor burung sedang kelaparan hinggap di dahan pokok mangga. Matanya menjalar ke sekeliling taman. Mencari mangsa untuk dijadikan santapan. Ia terus mencari dan mencari sehinggalah matanya terhenti pada sehelai daun yang menjadi tempat tinggal si beluncas.
“Ahhah! Beluncas! Cepat dimasak, sedap dimakan! Hehehe..”
Tanpa melengah-lengahkan masa, burung tersebut terbang dalam halaju yang maksimum, menuju ke arah pokok bunga ros yang dihuni oleh beluncas. Apabila burung tersebut semakin menghampiri pokok itu..
“Tunggu!!” Jerit si beluncas sambil menggangkat sebelah kaki hadapannya, seolah-olah seorang polis trafik sedang menahan kereta.
Dengan serta-merta burung tadi melakukan emergency break di udara.
“Ni apa hal ni? Kau tak nampak ke aku tengah bersedia nak makan kau ni? Nasib baik aku sempat buat emergency landing!”
“Kau tak tengok ke warna kat tubuh aku ni?”
“Warna?? Sorry, aku buta warna la.. Kau ni warna apa ek?”
“Patutlah suka-suka hati je nak makan beluncas.. buta warna rupanya.. kasihan.. Aku ni warna merah, hitam dan jinggala!”
“Ada aku kisah kau warna apa? Hahaha.. Kenapa pulak kau nak bagitahu warna kau pada aku?”
“Kau ni burung.. gi sekolah ke tak ni?”
“ Mestila gi sekolah.. tapi dalam setahun, sehari jer aku pergi. Hari-hari lain aku ponteng.. Hahaa”
“Oh burung kusangkakan kau makhluk yang bijak..rupa-rupanya.. isk.. Kau tahu tak warna-warna ni semua menandakan aku ni beracun! Silap-silap kau boleh mati nanti!”
“Hah? Betulke? Aku tak percaya! Mana buktinya!!”
“Kau nak aku buka ensiklopedia dulu baru kau nak percaya ke?”
“Uihh.. Beluncas baca ensiklopedia?? Tak logic betul cerita nih…”
“Abes tu, dah penulis cerita ni tulis mende2 mengarut ni nak wat camne! Nih,, ambil ensiklopedia ni.. buka bab 100 halaman 1001. Baca sendiri baru kau percaya.”
“Ah.. malas aku nak layan littleMuslimah ni.. para pembaca sekalian, burung mana reti baca buku.. kan..kan..kan.. Anyway beluncas, thanks for saving my life.. ohh.. aku terspeaking pulak.. haha. Aku minta diri dulu la ye.. Bye bye.. See you later..”
“Oh.. Small matter.. Don’t worry be happy.. Bye..bye..” Kata beluncas sambil menghantar burung dengan pandangan mata. Pada masa ini, barulah ia perasan, ada seekor lagi makhluk yang sedang asyik memerhatikannya daripada tadi.
“Hah! Kau tak nak try nak makan aku jugak??” Tanya beluncas kepada seekor makhluk di hadapannya. Tapi makhluk itu hanya berdiam diri sambil memandangnya dengan ekspresi muka yang berkerut.
“Aku tanya ni? Kau tak nak try makan aku jugak ke?” Tanya si beluncas sekali lagi. Kali ini dengan selambanya makhluk di hadapannya menjawab.
“Kau gile?? Aku ni kan beluncas jugak! Tak tengok aku tengah kunyah daun pokok nih? Kau nak suruh aku jadi makhluk karnivor pulak ke?”
“Eheh.. kau beluncas jugak ek?? Mana la aku tahu.. hehehe..” Kata beluncas sambil berlalu. Mukanya merah padam menahan malu. Masakan tidak mengenali spesies sendiri.
Kini, beluncas semakin membesar dan menjadi bertambah matang dengan melalui beberapa siri instar. Instar boleh didefinisikan sebagai peringkat perkembangan seekor serangga di antara dua ekdisis. Ekdisis merujuk kepada proses penggantian kulit baru yang dialami oleh kebanyakan serangga dalam proses tumbesaran mereka. Setiap kali serangga bertambah dari segi saiznya, setiap kali itu jugalah mereka perlu melalui proses ini. Ini kerana, kulit serangga diperbuat daripada kitin (chitin) yang tidak fleksibel sebagaimana kulit manusia. Maka, kulit lama perlu digantikan dengan kulit yang baru setiap kali mereka membesar bagi memastikan kesinambungan hidup mereka.
Terdapat mekanisme khusus yang membantu serangga untuk menggugurkan kulitnya. Ekdsis bermula dari penyerapan semula bahan-bahan tertentu dalam bahagian dalam kulit lama dan pembentukan kulit baru yang sangat lembut. Kemudian, kulit lama akan merekah dan akan menjadi semakin lebar membentuk sebuah lubang bukaan di mana seekor beluncas gigih berjuang untuk keluar. Tubuh yang amat lembut ini dilindungi dengan kulit yang terbentuk dari bentuk awal. Kulit ini diciptakan kefleksibilitian dan transparensi yang ideal. Kemudian, beluncas yang telah keluar tadi akan menyerap air atau menghirup udara dan bertambah saiz semasa kulit baru masih lembut.
Ekdisis mungkin sesuatu yang amat mencabar bagi beluncas. Mungkin anda semua akan faham akan cabaran ini selepas melihat video di bawah. Lihatlah, betapa gigihnya seekor beluncas yang sedang ingin membebaskan diri daripada kulit lamanya.
Menjelang perubahan terakhir, beluncas tadi akan membungkuskan dirinya membentuk pupa. Beluncas berubah menjadi pupa dengan melekatkan dirinya pada substrat dan seterusnya akan bersalin kulit buat kali terakhir.
Mari kita semua saksikan perubahan terakhir ini.
Daripada apa yang anda baca, apakah agaknya kaitan metamorphosis dengan keimanan kita?? (Sorry, kisah ni ada dialog yang mengarut sikit… hehe..)
Apakah perbandingan kisah kitar hidup seekor rama-rama dengan kisah hidup kita sebagai manusia?
Adakah anda semua nampak perkaitan yang cuba saya kaitkan di sini?
Saya tinggalkan anda dengan persoalan di atas dan juga graf ini. Dapatkah anda semua mengagak apakah analoginya? InsyaAllah, saya akan cuba untuk menghuraikannya dalam entri yang seterusnya.

p/s: Mulai daripada entri kali ini, saya akan menukarkan ‘aku’ kepada ‘saya’ sebagai kata nama ganti diri dalam penulisan saya yang mungkin sedikit bercorak interaksi dengan anda semua. Tiada alasan khusus yang boleh dinyatakan di sini, melainkan, saya sebenarnya lebih selesa menggunakan ‘saya’ berbanding ‘aku’. Bahkan, saya sebenarnya amat jarang membahasakan diri sebagai ‘aku’. Biasanya, saya akan membahasakan diri sebagai ‘saya’ ataupun dengan menggunakan nama sendiri dengan sahabat-sahabat. Mungkin sudah terbiasa dididik sebegitu..
Tetapi, mungkin ada juga entri-entri lain yang masih mengekalkan penggunaan ‘aku’. It depends on the situations. Ikut yang mana sesuai.
















